Salam/helloo...
Ibu enam anak ditangkap khalwat dengan lelaki dalam motel
ALOR SETAR: Seorang isteri yang sepatutnya pulang melawat suami yang lumpuh di kampung sempena cuti Hari Pekerja kelmarin, dicekup berkhalwat dengan suami orang di sebuah motel di bandar raya ini, malam kelmarin.
Wanita berusia 46 tahun itu yang bekerja sebagai pembantu kedai makan di Pulau Pinang dan pasangannya, seorang pengawal keselamatan berusia 52 tahun dicekup di sebuah motel di Jalan Kampung Perak, bersebelahan Masjid Zahir, di sini, jam 2.10 pagi oleh anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK).
Wanita itu tinggal di Pulau Pinang dan meninggalkan suaminya berusia 50-an yang lumpuh di kampung mereka di Guar Chempedak bersama enam anak berusia antara tujuh hingga 24 tahun.
Ketua Operasi JAIK, Mat Nasir Mat Dali, berkata pasangan berkenaan ditahan selepas pihaknya membuat pemeriksaan di sebuah bilik di motel itu dan mengesyaki sesuatu mencurigakan apabila pintu lambat dibuka.
Apabila pintu dibuka, katanya, seorang lelaki yang hanya berseluar tanpa baju membuka pintu dan membenarkan pemeriksaan dijalankan dalam bilik itu.
“Hasil pemeriksaan kita menemui seorang wanita bersembunyi dalam selimut di tepi katil dalam ketakutan,” katanya.
Mat Nasir berkata, selepas disoal siasat, mereka gagal menunjukkan sebarang bukti mempunyai hubungan mahram atau suami isteri, menyebabkan mereka didapati bersekedudukan sehingga menimbulkan syak melakukan maksiat.

0 comments:
Post a Comment